MELAMPAU dan biadap. Itulah kenyataan yang boleh menggambarkan sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan apabila mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak memakai baju yang beridentitikan kemelayuan dalam sebarang majlis rasmi termasuk yang dihadiri oleh Sultan sebagai tanda protes kerana kerajaan tidak memberikan status bumiputera kepada bukan Melayu.
Ramai pihak berasa kurang senang dan berang dengan kenyataan tersebut malah memberikan pelbagai reaksi yang negatif, melambangkan betapa marahnya orang Melayu dengan isu ini. Malah ini bukan sekali Manoharan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur perkauman dan sensitif.
Malah sebelum itu juga Manoharan menuntut kerajaan agar memberikan status bumiputera kepada bukan Melayu yang lahir selepas 31 Ogos 1957.
Barangkali Manoharan seorang yang pelupa, atau sengaja berbuat lupa, atau sememangnya tidak tahu bersyukur dengan apa yang beliau peroleh sekarang?
Secara peribadi saya berasa sangat hairan kenapa masih ada lagi manusia yang mempertikaikan tentang hak keistimewaan orang Melayu, taraf bumiputera, malah tergamak menghina budaya orang Melayu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.
Apakah tidak cukup dengan apa yang telah diberikan oleh orang Melayu, ‘kerajaan Melayu’, raja-raja Melayu selama ini kepada bukan Melayu?
Apakah orang bukan Melayu di negara ini ditindas? Atau adakah masih ada orang bukan Melayu yang tidak dibenarkan belajar di universiti awam, mencari sumber pendapatan, menghimpunkan harta kekayaan, mengamalkan fahaman agama dan budaya mereka di ‘bumi orang Melayu’ ini?
Kalau hendak dibandingkan dengan kemiskinan, terdapat juga orang Melayu yang masih guna lampu pelita minyak tanah, mandi di parit, mengutip tin-tin kosong, tinggal di rumah yang besar sedikit daripada reban ayam.
Orang bukan Melayu pula bagaimana? Siapakah majoriti yang memandu Mercedes Benz atau BMW di jalan raya negara ini? Malah, dalam senarai sepuluh orang bilionair Malaysia, siapakah yang mengisi tempat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya? Berapakah bilangan bilionair Melayu dalam senarai itu?
Apakah Manoharan tidak dapat melihat, menilai, mendengar semua kenyataan tersebut sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang mengundang amarah Melayu?
Orang Melayu sudah banyak berkorban demi perpaduan kaum di negara ini tetapi apa balasan yang orang Melayu terima? Yang ada hanya sekelompok manusia jahil yang terus mempertikaikan orang Melayu.
Tidakkah mereka sedar bahawa apa yang mereka peroleh sekarang ini adalah salah satu pengorbanan terbesar orang Melayu kepada mereka apabila orang Melayu sanggup beralah dan memberikan kewarganegaraan kepada bukan Melayu?
Kewarganegaraan adalah suatu hak yang amat besar. Dengan kewarganegaraan inilah orang bukan Melayu mempunyai hak istimewa apabila dibenarkan untuk mengundi, memilih pemimpin yang mereka sukai, malah turut menjadi calon dan wakil rakyat dan secara tidak langsung turut menjadi sebahagian daripada ‘warga’ yang terlibat dalam pembuatan dasar kerajaan.
Malah apa yang Manoharan peroleh sekarang ini juga adalah hasil daripada tolak ansur orang Melayu dalam ‘pakatan murni’ dahulu. Seandainya orang Melayu memilih untuk tidak menyokong dan berperang pada waktu itu, adakah kita akan dapat merasai semua ini sekarang?
Bukalah mata dan telinga wahai Manoharan dan juga sesiapa yang ingin terus menerus mempertikaikan orang Melayu. Apa yang kita miliki sekarang adalah hasil tolak ansur secara bersama. Jadi jangan dirosakkan semua itu hanya kerana ingin mengikut nafsu sahaja.
Bersyukurlah Manoharan kerana kamu adalah warganegara Malaysia. Seandainya kamu di negara asal keturunan kamu, mungkin kamu sudah diburu samseng lantaran sikap biadap dan kurang ajar kamu itu.
Orang Melayu di sini masih lagi taat dan patuh pada undang-undang dan masih mempunyai semangat kerukunan.
Justeru, usahlah cabar dan hancurkan semangat kerukunan tersebut kerana yang akan rugi adalah negara kita sendiri. Sayangilah negara kita bersama.
sumber:Utusan Malaysia