Tuesday, June 9, 2009

Calon Bersifat Mesra Rakyat Pilihan Penduduk Manik Urai

KUALA KRAI, 9 Jun (Bernama) -- Faktor utama untuk menang dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai pada 14 Julai nanti bukan bergantung kepada pengaruh parti tetapi lebih kepada calon bersifat mesra rakyat dan mempunyai reputasi berkhidmat kepada rakyat.Ukuran itu dibuat berdasarkan daripada perbualan penduduk di kedai-kedai kopi yang hangat memperkatakan mengenai calon pilihan mereka pada pilihan raya kecil itu.
Tinjauan Bernama mendapati reputasi calon yang diuar-uarkan bakal dipilih sama ada dari PAS atau Umno menjadi topik perbualan penduduk dengan mereka melahirkan harapan akan mendapat wakil rakyat baru yang mudah mendekati rakyat terutama apabila memerlukan bantuan."Calon "ikan buruk" kami tak mahu dah, seperti bila rakyat ajak minum di kedai kopi, calon menolak atas alasan takut ikan jadi buruk (busuk) di dalam kereta, jadi terpaksa pulang segera," kata Mohd Bakri Abdullah kepada Bernama.
Penduduk mahukan wakil rakyat yang sanggup menolong mereka yang memerlukan bantuan, katanya dan menurutnya bantuan itu bukan merujuk kepada bantuan kewangan tetapi lebih kepada usaha mendapatkan bantuan kepada mereka yang memerlukan."Calon tidak mesra rakyat, kami tidak mahu. Kami nak calon bila rakyat nak buat kenduri dan perlukan peruntukan dia sedia membantu. Bila ada masalah bantuan, dia akan usahakan cari pihak yang dapat menolong," kata Mohd Bakri, 45.
Antara calon Umno yang disebut-sebut masyarakat setempat kerana mempunyai ketokohan itu ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai Tuan Aziz Tuan Mat kerana kesediaan beliau untuk berkhidmat kepada rakyat sebelum ini.Nama Tuan Aziz disebut-sebut kerana beliau berasal dari Manik Urai dan merupakan pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang akan memudahkan penduduk mendapatkan bantuan pertanian.Selain Tuan Aziz, nama lain yang turut disebut-sebut ialah Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krai Abdul Jalal dan Ketua Wanita Umno bahagian itu Rohani Abdul Majib.
Bagi PAS pula, antara nama calon yang disebut-sebut ialah Fikri Che Ismail atau lebih dikenali Mat Yi Kopiah.Ahli perniagaan berusia 51 tahun itu yang juga Timbalan Ketua PAS Cawangan Kampung Laloh, di sini dikatakan sebagai calon terbaik kerana memenuhi kriteria yang dikehendaki parti itu beriman dan diterima oleh masyarakat setempat.Ketika ditemui Bernama di sini, hari ini, Fikri berkata beliau tidak terfikir langsung untuk dipilih sebagai calon, apatah lagi untuk menawarkan diri dalam pilihan raya kecil itu."Saya tidak bermimpi langsung untuk menjadi calon dan menganggap masih belum layak untuk memikul tanggungjawab itu," katanya.Bagaimanapun, beliau tidak mungkin menolak jika diberi tanggungjawab itu kerana ia merupakan amanah dalam perjuangan parti yang berlandaskan Islam.
Nama-nama lain yang turut disebut-sebut ialah bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Zulkifli Yaacob, bekas calon PAS bagi kerusi DUN Manek Urai pada 2004, Zamzuri Mat Lazim; Ketua Pemuda PAS Kuala Krai, Mahadi Mohd Zain dan Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad.Pilihan raya kecil DUN Manik Urai diadakan berikutan kematian penyandang daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Julai dan pengundian pada 14 Julai.Dun Manik Urai mempunyai 12,293 pemilih berdaftar dan 95 peratus daripada jumlah itu merupakan pengundi Melayu yang bergantung pendapatan kepada hasil pertanian termasuk sawit dan getah.DUN itu mempunyai sembilan daerah mengundi iaitu Temalir, Sungai Perial, Manik Urai Lama, Manik Urai Baru, Sungai Sok, Chuchoh Puteri, Lata Rek, Manjor dan Laloh.Pada pilihan raya umum 2008, PAS menang dengan majoriti 1,352 undi dan pilihan raya umum 2004, BN mengatasi PAS dengan majoriti tipis sebanyak 53 undi.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.