Tuesday, June 9, 2009

Calon Bersifat Mesra Rakyat Pilihan Penduduk Manik Urai

KUALA KRAI, 9 Jun (Bernama) -- Faktor utama untuk menang dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai pada 14 Julai nanti bukan bergantung kepada pengaruh parti tetapi lebih kepada calon bersifat mesra rakyat dan mempunyai reputasi berkhidmat kepada rakyat.Ukuran itu dibuat berdasarkan daripada perbualan penduduk di kedai-kedai kopi yang hangat memperkatakan mengenai calon pilihan mereka pada pilihan raya kecil itu.
Tinjauan Bernama mendapati reputasi calon yang diuar-uarkan bakal dipilih sama ada dari PAS atau Umno menjadi topik perbualan penduduk dengan mereka melahirkan harapan akan mendapat wakil rakyat baru yang mudah mendekati rakyat terutama apabila memerlukan bantuan."Calon "ikan buruk" kami tak mahu dah, seperti bila rakyat ajak minum di kedai kopi, calon menolak atas alasan takut ikan jadi buruk (busuk) di dalam kereta, jadi terpaksa pulang segera," kata Mohd Bakri Abdullah kepada Bernama.
Penduduk mahukan wakil rakyat yang sanggup menolong mereka yang memerlukan bantuan, katanya dan menurutnya bantuan itu bukan merujuk kepada bantuan kewangan tetapi lebih kepada usaha mendapatkan bantuan kepada mereka yang memerlukan."Calon tidak mesra rakyat, kami tidak mahu. Kami nak calon bila rakyat nak buat kenduri dan perlukan peruntukan dia sedia membantu. Bila ada masalah bantuan, dia akan usahakan cari pihak yang dapat menolong," kata Mohd Bakri, 45.
Antara calon Umno yang disebut-sebut masyarakat setempat kerana mempunyai ketokohan itu ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai Tuan Aziz Tuan Mat kerana kesediaan beliau untuk berkhidmat kepada rakyat sebelum ini.Nama Tuan Aziz disebut-sebut kerana beliau berasal dari Manik Urai dan merupakan pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang akan memudahkan penduduk mendapatkan bantuan pertanian.Selain Tuan Aziz, nama lain yang turut disebut-sebut ialah Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krai Abdul Jalal dan Ketua Wanita Umno bahagian itu Rohani Abdul Majib.
Bagi PAS pula, antara nama calon yang disebut-sebut ialah Fikri Che Ismail atau lebih dikenali Mat Yi Kopiah.Ahli perniagaan berusia 51 tahun itu yang juga Timbalan Ketua PAS Cawangan Kampung Laloh, di sini dikatakan sebagai calon terbaik kerana memenuhi kriteria yang dikehendaki parti itu beriman dan diterima oleh masyarakat setempat.Ketika ditemui Bernama di sini, hari ini, Fikri berkata beliau tidak terfikir langsung untuk dipilih sebagai calon, apatah lagi untuk menawarkan diri dalam pilihan raya kecil itu."Saya tidak bermimpi langsung untuk menjadi calon dan menganggap masih belum layak untuk memikul tanggungjawab itu," katanya.Bagaimanapun, beliau tidak mungkin menolak jika diberi tanggungjawab itu kerana ia merupakan amanah dalam perjuangan parti yang berlandaskan Islam.
Nama-nama lain yang turut disebut-sebut ialah bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Zulkifli Yaacob, bekas calon PAS bagi kerusi DUN Manek Urai pada 2004, Zamzuri Mat Lazim; Ketua Pemuda PAS Kuala Krai, Mahadi Mohd Zain dan Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad.Pilihan raya kecil DUN Manik Urai diadakan berikutan kematian penyandang daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Julai dan pengundian pada 14 Julai.Dun Manik Urai mempunyai 12,293 pemilih berdaftar dan 95 peratus daripada jumlah itu merupakan pengundi Melayu yang bergantung pendapatan kepada hasil pertanian termasuk sawit dan getah.DUN itu mempunyai sembilan daerah mengundi iaitu Temalir, Sungai Perial, Manik Urai Lama, Manik Urai Baru, Sungai Sok, Chuchoh Puteri, Lata Rek, Manjor dan Laloh.Pada pilihan raya umum 2008, PAS menang dengan majoriti 1,352 undi dan pilihan raya umum 2004, BN mengatasi PAS dengan majoriti tipis sebanyak 53 undi.-- BERNAMA

Saturday, June 6, 2009

Negara Berasaskan Sistem Beraja.

Demokrasi awal mula diamalkan di kota Athens pada zaman silam di Yunani atau Greece purba dengan warganegaranya secara langsung membuat keputusan pemerintahan.
Di kota dan zaman itu jugalah muncul ahli-ahli falsafah Socrates, yang mengajar muridnya, juga ahli falsafah terkenal Plato. Beliau pula mempunyai seorang murid yang juga ahli falsafah besar, iaitu Aristotle.

Kota Athens tumbang ditawan dan dimusnahkan oleh pesaingnya ketika itu, iaitu Sparta yang mengamalkan sistem pemerintahan ketenteraan dan berakhirlah sistem demokrasi awal dalam kehidupan politik manusia itu.
Tetapi antara banyak-banyak negara dalam Yunani purba itu, muncul sebuah kerajaan yang dianggap berada di pinggiran tamadunnya. Negara itu, Macedonia dipimpin oleh Raja Philip yang mempunyai putera bernama Iskandar. Baginda mengarahkan Iskandar belajar daripada Aristotle mengenai segala perkara yang diketahui.

Setelah kemangkatan Philip, baginda digantikan dengan Raja Iskandar. Baginda memimpin bala tenteranya menawan keseluruhan Yunani. Bukan itu saja, baginda merentas ke timur, menakluki Parsi dan terus hingga ke India. Maka wujudlah kerajaan besar Iskandar Agung yang wilayahnya merentas tiga benua, Asia, Eropah dan Afrika.

Baginda menubuhkan ibu kotanya di Babylon (sekarang Iraq) dan mengasaskan sebuah kota besar di Mesir purba yang dinamakan Iskandariah. Dalam bahasa Inggeris disebut Alexandria.
Pengaruh Iskandar Agung ini menyerap ke India yang seterusnya budaya serta pemikiran mengenai kerajaannya tentu akhirnya sampai juga ke Asia Tenggara.
Justeru apabila kitab Sejarah Melayu mengisahkan asal usul Raja-Raja Melayu, tentunya dirujukkan kepada Kesultanan Melaka yang mewarisi Kerajaan Seri Wijaya, ia mengisahkan betapa permulaan sistem Raja-Raja Melayu adalah di Bukit Siguntang di Sumatera, atau disebut juga sebagai Seri Andalas.

Maka disebut dalam Sejarah Melayu, asal-usul Raja-Raja Melayu apabila disusur galurkan yang dikisahkan melalui pelbagai mitos adalah daripada Iskandar Agung.
Dalam tradisi Melayu, Iskandar Agung ini juga disebut sebagai Iskandar Zulkarnain, walaupun terdapat pelbagai pertikaian oleh ahli sejarah dan ahli sastera tentang perbezaan antara Iskandar Zulkarnian dan Iskandar Agung.

Antara kisah dalam Sejarah Melayu ialah perjanjian antara Raja dan Datuk Bendahara yang mewakili rakyat. Dari sinilah keluar ungkapan 'Raja adil disembah, Raja zalim disanggah'.
Namun begitu, kerajaan Melayu bermula lebih awal daripada Seri Wijaya. Kerajaan awal muncul di Funan dan kemudian di Champa yang kesemuanya terletak di Indochina sekarang ini. Tamadun Melayu dikatakan bermula di wilayah itu dengan gendang Dongson yang berbentuk bintang berbucu banyak sebagai simbolnya.

Simbol bintang berbucu banyak ini kini dapat diabadikan dalam bendera Jalur Gemilang. MCA juga mengambil bintang berbucu banyak itu sebagai lambangnya.
Jadi ketika kerajaan-kerajaan Melayu itu muncul di wilayah Vietnam dan Kemboja sekarang, di manakah bangsa Vietnam berada? Manusia pelbagai etnik dan kaum bercampur baur baik melalui perkahwinan atau penaklukan dan menghasilkan bangsa baru yang lain.
Tetapi bangsa Vietnam purba pada asalnya hidup di China selatan. Ketika mereka menguasai bahagian dunia itu, China sebagai bangsa dan negara belum dimantapkan.
Maharaja Shih Huang Ti baru hendak menyatukan pelbagai bangsa dan etnik untuk dijadikan satu bangsa berasaskan negaranya sendiri yang bernama Chin. Dalam usahanya itu, baginda ditentang oleh kaum Vietnam purba yang berada di China selatan.
diperluaskan

Hanya setelah membina pelbagai terusan bagi membawa bekalan untuk bala tenteranya, maka China dapat diperluaskan dan menawan wilayah Vietnam purba. Bangsa Vietnam purba pula terdesak dan lari ke selatan membawa sekali kerajaan-kerajaan mereka.
Maka menghala ke selatan, sudah tentu mereka bertempur dan menakluki bangsa-bangsa Funan, Champa, Khmer dan lain-lain, termasuklah bangsa Melayu purba.
Kerajaan-kerajaan Melayu purba ini turut bergerak ke selatan memindahkan kerajaan-kerajaan mereka ke Kemboja, Vietnam Selatan hinggalah ke Pattani dan Semenanjung Melayu.
Di situ, mereka bertembung pula dengan kerajaan Ayuthaya yang sedang memantapkan kerajaan Siam di mana ia mahu menguasai keseluruhan semenanjung Asia Tenggara hingga ke selatan iaitu Temasik.

Kemunculan Parameswara sebagai pewaris kepada Seri Wijaya kemudian mengembalikan negeri-negeri Melayu, daripada Temasik hinggalah ke Pattani untuk berada di bawah Kesultanan Melaka. Pengaruh kesultanan ini juga sampai ke Brunei dan Sulu.
Keupayaan Kesultanan Melaka dapat menapak di mercu tertingginya berlaku semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah dengan Tun Perak menjadi Bendahara dan Hang Tuah sebagai Laksamana.

Kebijaksanaan diplomasi juga menyumbang kepada kejayaan ini apabila Melaka mengadakan hubungan persahabatan dengan China, pimpinan Dinasti Ming yang di dalamnya terdapat pengaruh Islam yang kuat.
Maka pada zaman itu, daripada Istanbul di Barat hinggalah ke Zaytun di Timur, baik melalui laluan sutera mahu pun bahtera, sebahagian besar dunia ditadbir dan dipimpin oleh kerajaan-kerajaan Islam dengan sokongan sekutu-sekutunya termasuk kerajaan China. Laksamana Cheng Ho memainkan peranan penting dalam mewujudkan tata kuasa dunia itu.

Tetapi tidak ada kerajaan yang dapat bertahan selama-lamanya. Dinasti Ming tumbang, begitu juga dengan Kesultanan Melaka, Kerajaan Moghul di India dan juga Khalifah Uthmaniah di Istanbul.
Kuasa-kuasa baru Eropah muncul dan yang terbesar datangnya dari England. Negara kecil ini mendapat manfaat daripada kesedaran tamadun yang dinamakan Enlightenment yang asalnya datang daripada Yunani melalui Renaissance di Itali yang muncul melalui kajian-kajian pemikiran Yunani tersimpan oleh para cendekiawan Islam.

Akhirnya Perang Salib membuka ruang pemikiran Yunani yang dikaji oleh cendekiawan Islam kepada orang Eropah. Antara pemikiran inilah yang membawa kebangkitan kaum bangsawan di England untuk mengehadkan kuasa raja melalui piagam yang disebut Magna Carta.
Daripada situ, idea sistem politik yang berasaskan rakyat berkembang. Fahaman demokrasi yang pernah dilaksanakan di Athens akhirnya dimunculkan semula dalam bentuk Raja Berperlembagaan Inggeris. Maka Parlimen England dikenali sebagai "ibu kepada parlimen".
Demokrasi moden mula berputik. House of Lords atau Dewan Bangsawan dan House of Commons atau Dewan Orang Ramai mula merintis kepada kaedah demokrasi moden.
Tentu pada awalnya, sistem Raja Berperlembagaan ini memperlihatkan kesukaran hubungan antara raja dengan Parlimen serta juga dengan Perdana Menteri yang dipilih Parlimen untuk menasihati raja.

Walaupun raja tidak mencampuri urusan politik dan pemerintahan, tetapi pengaruhnya tetap ada dan berbeza-beza mengikut personaliti dan zaman masing-masing.
Maka semasa pemerintahan Queen Victoria, baginda memperoleh pula seorang Perdana Menteri yang juga hebat, Benjamin Disraeli. Pada zaman ini, empayar British terbentang paling luas hinggakan Victoria diisytiharkan juga sebagai Maharani India.
Ternyata sistem raja-raja India sudah tumbang apabila negara itu dijajah sepenuhnya oleh British.

Di China pula, Dinasti Ching yang memerintah berada di penghujungnya. China sedang diancam oleh penjajah-penjajah, iaitu Rusia, Jepun, Jerman, Britain dan Perancis, masing-masing mahu membahagi-bahagikan negara itu.
Britain berjaya menguasai Hong Kong walaupun dalam bentuk pajakan dengan janji perlu dikembalikan pada tahun 1997. Keupayaan Britain memerintah empayarnya yang luas bertunggakkan pada pelabuhan-pelabuhan strategik yang dikuasai.
Dari London, Gibraltar, Port Said, Aden, Bombay, Colombo, Pulau Pinang, Singapura hinggalah Hong Kong berada di bawah kekuasaannya.

Pentadbiran India yang berpusat di Calcutta juga turut mentadbir Negeri-Negeri Selat di Pulau Pinang, Seberang Perai, Dinding, Melaka dan Singapura.
Walaupun Britain menguasai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu di Semenanjung Tanah Melayu, tetapi kedaulatan masih tetap dipegang oleh Raja-Raja Melayu.

BERDAULAT
Pada kurun ke-19, negeri-negeri Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis masih berdaulat walaupun kekuasaan di luar daripada hal ehwal agama dan adat istiadat Melayu sudah berada di tangan Inggeris. Namun begitu, pengaruh Raja-Raja Melayu masih besar termasuk dalam soal tanah.
Maka dari satu segi, pada zaman penjajahan British, sistem beraja yang diamalkan di negeri-negeri Melayu bersifat Raja Berperlembagaan walaupun yang menguasai pemerintahan bukannya rakyat tetapi penjajah.
Perkara yang sama juga berlaku di banyak tempat di Hindia Timur Belanda yang kemudiannya menjadi Indonesia. Di Thailand pula, berlaku gerakan untuk mewujudkan Raja Berperlembagaan, tetapi ia tidak datang dari rakyat, tetapi pihak tentera.
Sementara di Jepun, maharajanya juga berdaulat tetapi kekuasaan sebenarnya terletak pada pihak yang menguasai tentera. Golongan tentera inilah kemudian merubah politik Asia termasuk Malaysia.

Dalam perang Dunia Kedua, Jepun berazam untuk menguasai keseluruhan Asia Timur melalui gagasan Kemakmuran Asia Timur Raya dengan Tokyo memerintah keseluruhan China, Asia Tenggara, India dan kepulauan Pasifik sehingga Australia.
Mereka gagal dan apabila Amerika Syarikat menakluk Jepun, mereka menimbangkan sama ada untuk menghapuskan institusi maharaja atau tidak. Akhirnya mereka membuat keputusan memperkenalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan institusi maharaja dikekalkan.
Selepas Perang Dunia Kedua, Britain memberikan kemerdekaan kepada India dengan menggubal sebuah perlembagaan yang begitu kompleks.

Pada mulanya cadangan yang diutarakan ialah untuk menubuhkan sistem Raja Berperlembagaan di India dengan Ratu atau Raja England menjadi Maharaja India sebagai mewarisi Queen Victoria.
Sistemnya adalah seperti Australia dan Kanada di mana ketua negara dipegang oleh Raja England dengan diwakili oleh Gabenor-Jeneral. Tetapi kemudian perkara ini ditentang dan India menjadi republik dengan presiden tanpa kuasa eksekutif seperti Raja Berperlembagaan.
Di Tanah Melayu, pada mulanya dicadangkan penubuhan Malayan Union dengan menghapuskan sistem beraja. tetapi akibat bantahan orang Melayu dan ancaman komunis, Britain bersetuju menubuhkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen bagi Tanah Melayu.

Untuk menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, maka diambil perlembagaan India sebagai rujukan. Oleh kerana sudah ada sistem beraja di negara ini, maka dengan mudahnya diambil cadangan Tunku Abdul Rahman supaya sistem Raja Berperlembagaan yang unik di dunia, iaitu melalui Majlis Raja-raja.
Keindahan sistem Raja Berperlembagaan Malaysia ini diterima baik dan tidak pernah dipertikaikan, malah kedaulatannya diperluaskan kepada semua Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka yang sebelum itu tidak dinaungi oleh mana-mana raja.
Yang di-Pertuan Agong mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Pinang dan Melaka. Bukan itu saja, semasa penubuhan awal Malaysia, dengan mudah sistem Raja Berperlembagaan ini dapat diterima oleh semua kaum di negara ini dan kedaulatannya meliputi Singapura, Sarawak dan Sabah.

Keagungan dan kejayaan sistem ini bergantung kepada rakyat negara ini sendiri. Ia merupakan sistem yang unik, penuh warisan dan berkesan. Tetapi untuk menjayakannya, rakyat tanpa mengira kaum wajar sama-sama berusaha untuk mendokongnya supaya negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dapat berfungsi dengan lebih baik. Ingatlah bahawa kehidupan bernegara memerlukan keseimbangan.

Sunday, May 31, 2009

UMNO salah strategi di Penanti.

Blogger tertarik dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO P.Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman yang menyatakan bahawa 5,000 ahli Umno tidak akan keluar mengundi dalam pilihanraya kecil Penanti kerana calon BN tidak bertandingi dan jika mereka keluar (mengundi), ia seolah-olah mengkhianati parti," katanya.
Dengan kenyataan tersebut, implikasinya berlaku di Penanti hari ini, apa bila pertusan yang keluar untuk membuang undi sangat perlahan dan rendah. Adakah tindakan pengundi berdaftar tidak keluar mengundi, mungkin juga terdiri dari ahli UMNO adalah tindakan yang bijak dan matang dalam berpolitik? Blogger merasakan UMNO tidak faham sistem demokrasi yang diamalkan, mengundi adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat negara ini yang berdaftar. Jika adanya pilihanraya tidak kira samada PRK atau PRU, pengundi seharusnya keluar mengundi. Jika mahu protes atau memboikot pilihanraya dan ingin memberi pengajaran kepada PKR atau mana-mana parti pembangkang, ahli UMNO yang mengundi harus memberi pengajaran dan mesej yang lebih jelas dan akan memalukan parti pembangkang ini.
Sepatutnya UMNO menggesa ahlinya keluar mengundi seperti biasa, tetapi pastikan protes diterjemahkan dalam kertas undi iaitu dengan membuatkan kertas undi tersebut rosak, samada dengan cara memangkah semua calon, atau 2 calon, atau apa juga tindakan yang membuatkan kertas undi itu rosak. Tujuannya bukanlah kerana pengundi UMNO bodoh, tetapi cuba anda bayangkan jika dalam PRK Penanti terdapat 5000 kertas undi rosak, mungkin pertama dalam sejarah pilihanraya di Malaysia.
Perbuatan ini akan memberi mesej dengan jelas kepada PKR bahawa rakyat bukan sahaja tidak menyokong mereka, malah amat tidak bersetuju dengan cara mereka berpolitik yang hanya memikirkan kepentingan peribadi tanpa memikirkan kepentingan rakyat. Dalam masa yang sama juga UMNO boleh menilai kekuatan pengundi yang menyokong mereka.
Perubahan yang dilaung-laungkan oleh UMNO, sepatutnya mestilah sesuatu yang lebih memberi impak, dan dirasai leh rakyat, bukan berertorik semata-mata, mengatakan mereka bagus, enak-enak, elok mulus, tetapi sebenarnya hancur dan teruk. Rakyat semua tahu benda ni.
Blogger pagi tadi terima panggilan telefon dari pengundi UMNO di Permatang Pauh, menanyakan di mana boleh dia memohon sumbangan bagi meringankan beban untuk mendaftar anaknya memasuki universiti nanti dalam bidang perubatan. Di tanya mengapa tidak minta sumbangan dari Ketua Bahagian dan pimpinan kanan UMNO Permatang Pauh? Jawab sahabat blogger, " kalau depa boleh tolong takkan aku nak tanya kat hang, depa pegang jawatan untuk kaya sendiri sahaja, boleh buat rumah berjuta ringgit di kelab golf, tapi bila mintak sumbangan anak masuk universiti banyak dolak dalih depa"
Ditanya kakak dah keluar mengundi kah? " awal lagi dah, tapi aku undi dr mansor walaupun aku meluat kat PKR tetapi aku la ni lebih benci pada pemimpin UMNO yang sombong dan hipokrit"
Blogger: No komen...................

Saturday, May 9, 2009

Siapa Syed Mokhtar Al-Bukhary

TAN SRI SYED MOKHTAR AL-BUKHARY LATAR BELAKANG
Umur : 53 tahun
Pendidikan : SPM
Mula berniaga : 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
Kekayaan : RM1,425 juta
Ranking : Ke 7 terkaya di Malaysia, Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)Antara syarikat miliknya : MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat
Kereta : Proton Perdana
Sumbangan sosial : Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.

Bagaimana sumbangan sosialnya bermula. Bila mana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun (RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.
Mutiara kata.....
1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan
2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.
3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.
4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.
5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.
6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.
8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.
9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.
10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?
11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.
12. Ketika Allah memberika kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.
13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah.
14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.
15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia- ia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !
16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak.
17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.
18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.
19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.
20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.
21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.
22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).
23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.
24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.
25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniagamana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.
26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki). Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.
27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.
28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.
29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.
30. ......kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.
31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.
32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.
33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.
34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.
35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.
36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.
38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.
39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.
40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.
41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.
42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.
43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.
44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.
45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.
46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.
47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.
48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.
49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.
Tambahan
Kalau pun tak mahu membantu orang melayu, lebih lebih lagi Islam jangan lah kita tergulong atau bertanggung jawab menyumbang pada pembunohan kegiatan amal orang melayu dan islam.

Permainan Kapitalis Dunia. Siapa Mangsanya

GLOBALISASI – SATU DUNIA BARU
Kita diberitahu bahawa dunia sedang menghadapi masaalah kecairan – ertinya tidak ada duit dalam pasaran. Lalu kita bertanya ke mana agaknya segala duit-duit yang terkumpul dalam dunia ini pergi.Negara China, Jepun, Korea, Singapura, Taiwan dan termasuk Malaysia sendiri ada menyimpan duit-duit ini dalam bentuk kertas dolar Amerika. Wang yang tersimpan ini – menjadi wang simpanan negara – adalah hasil kita berjual beli dengan Amerika. China dan Jepun adalah negara yang paling banyak menyimpan kertas dolar.
Kertas dolar telah dipaksakan ke atas dunia ini oleh kuasa imperial Amerika. Permaksaan ini melalui dua cara. Pertama – Amerika telah membuat perjanjian 1972-74 dengan keluarga Saud bahawa semua jual beli minyak wajib menggunakan kertas dolar. Ini kerana bahan bakar petroleum diperlukan oleh semua negara. Manakala Saudi adalah pengeluar utama bahan bakar ini. Untuk gantinya – kuasa imperial Amerika berjanji akan menjaga keselamatan keluarga Saud dari dipukul oleh ombak rakyat.Cara kedua ialah dengan kekuatan bala tentera. Amerika mendirikan 702 pengkalan tentera di 130 buah negara dalam dunia ini. Tidak ada negara penjual minyak yang berani menjual minyak tanpa menggunakan kertas dolar.
Saddam Hussein cuba mengalihkan kertas dolar sebagai mata wang jual beli minyak. Jawapannya Saddam di gantung mati. Iran sedang berusaha untuk beralih dari kertas dolar justeru segala bentuk sekatan sedang dilakukan ke atas Iran.Dari mana kertas dolar ini datang? Kertas dolar hanyalah kertas yang telah dipaksakan nilainya ke atas warga dunia. Ini dipanggil – fiat money - nilai yang dipaksa. Tanpa paksaan ini dolar hanyalah kertas yang tidak memiliki apa-apa nilai. Justeru kertas dolar adalah satu penipuan yang terunggul dalam sistem ekonomi kapitalis.Pada awalnya Amerika Syarikat adalah sebuah negara revolusiner yang berdiri untuk menjaga kepentingan warga. Amerika mengeluarkan duit kertas sendiri.
Amerika yang merdeka telah membebaskan diri dari para banker yang telah lama bersarang di City of London. Tuan-tuan empunya bank merasa mereka kehilangan bumi permata apabila Amerika menjadi bebas dan merdeka. Lalu para banker menelurkan satu konspirasi untuk memaksa pentadbiran Amerika terus terikat dengan kepentingan para banker.Pada tahun 1913 setelah beberapa kali pecubaan gagal akhirnya para banker telah berjaya memaksa/menipu Kongres untuk menerima dan meluluskan Akta Federal Reserve 1913.
Ramai warga dalam dunia tersilap menyangka bahawa Federal Reserve ini adalah bank milik negara Amerika. Tidak betul. Federal Reserve ini bukan bank milik negara Amerika seperti Bank Negara kita di Jalan Kuching. Federal Reserve adalah bank swasta yang tuan pemiliknya dirahsiakan.Siapa lembaga-lembaga pengarah Federal Reserve ini juga di rahsiakan. Kongress hanya boleh menerima atau menolak dua nama yang akan di cadangkan oleh Federal Reserve. Justeru dunia hanya mengenali nama Alan Greenspan Pengerusi Federal Reserve yang lalu dan Ben Bernanke Pengerusi yang terkini. Siapa yang lain di belakang tabir Federal Reserve ini tidak akan diketahui umum.
Mengikut Akta 1913 ini pentabiran Amerika tidak lagi dibenarkan mengeluarkan mata wang sendiri. Mata wang untuk kegunaan negara Amerika hanya akan dikeluarkan oleh Federal Reserve. Jika kerajaan Amerika memerlukan dolar maka kerajaan wajib meminjam dari Federal Reserve – sama ada dengan menjual bond atau meminjam dengan bunga yang ditetapkan. Lihat bagaimana liciknya konspirasi para banker ini.Seperti tulisan minggu lalu – para banker ini mencetak kertas yang dipanggil dolar tanpa apa apa asas. Kertas dolar ini akan dipinjam oleh kerajaan Amerika dari Federal Reserve ini akan dibayar kembali dengan bunga. Duit membayar hutang dan riba ini datang dari tenaga dan titik peluh rakyat Amerika.
Melalui kertas kosong para banker ini telah membuat harta Qarun.Inilah dia punca yang sedang membawa huru hara ke atas dunia hari ini. Mungkin ada yang berhujah – ini di Amerika apa sangkut pautnya dengan harga ikan di Pasar Chow Kit. Sabar dahulu biar saya terangkan sejelas mungkin.Hari ini perniagan tukaran mata wang dalam dunia ini semuanya diwajibkan menggunakan dolar. Semua simpanan reserve bank-bank negara dalam dunia ini akan bersandarkan dengan kertas dolar. Ini telah dipaksakan oleh sistem kapitalis yang dikepalai oleh pemodal Anglo-Amerika. Para banker dan kaum pemodal ini telah mendirikan lembaga-lembaga kewangan dunia. Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF) ada dua lembaga hitam yang memastikan kertas hijau ini digunakan di seluruh dunia.Setiap negara akan dinilai kekuatan ekonominya bersandarkan dolar.
Perniagaan antarabangsa semuanya menggunakan kertas dolar. Barang yang kita ekspot dan barangan yang kita impot semuanya dinilai dengah kertas hijau ini. Justeru kita sendiri di Malaysia akan melihat rebah bangun ekonomi negara kita melalui perbandingan ringgit dengan kertas dolar.Jika pembaca memahami apa yang saya tulis ini maka amat jelas kelihatan bahawa umat manusia dalam dunia ini telah diperbodohkan dan ditipu oleh Federal Reserve, Bank Dunia dan IMF. Lalu kita menyoal diri kita sendiri: kenapa tidak dapat dilakukan sesuatu untuk membebaskan diri dari sistem kapitalis global ini?
Pertama: Banyak rakyat Amerika sendiri kurang sedar silap mata dan tipu helah yang dijalankan oleh Federal Reserve ke atas negara mereka. Rakyat dunia juga tidak sedar akan hal yang sama. Kedua: tidak ada sesiapa yang akan dapat memasuki Rumah Puteh yang akan berani membocorkan rahsia ini. Lihat apa terjadi kepada Abraham Lincoln yang menentang para banker dan Central Bank (nama asal Federal Reserve). Presiden Lincoln yang berperang hampir jatuh muflis telah mencetak Lincoln Greenback Dollar tanpa meminjam dari Central Bank. Lihat juga apa yang terjadi kepada John F Kennedy kerana cuba membocorkan konspirasi kaum pemodal ini. Ketiga: tidak ada sesiapa yang akan dapat menjadi ahli Kongres atau masuk ke Dewan Senat Amerika dengan agenda menentang Federal Reserve, menentang para banker dan kaum pemodal ini.Semenjak tahun 1913 para banker ini telah membuat jaringan, kabal dan kumpulan rahsia untuk memastikan kepentingan mereka dijaga oleh para politikus.
Hari ini kabal rahsia para banker-banker ini telah mempengaruhi semua cabang pentabiran di Amerika.Hasilnya – media tidak pernah dan tidak akan melaporkan ke akar umbi secara radikal rancangan jahat para banker dan kaum pemodal ini. Enam puluh tahun dahulu masih terdapat 86 buah syarikat media yang besar dalam dunia ini. Ketika itu media cetak masih lagi bergerak bebas.
Hari ini yang tinggal hanya 6 buah syarikat - ViaCom, General Electric, Disney, NewsCorp, Times Warner dan CBS - yang memiliki pelbagai bentuk media. Syarikat media ini dimiliki oleh para banker-banker ini. Malah jika diselidiki dengan rapi kita akan menemui bahawa modal-modal ini juga telah meresap masuk ke dalam industri media tempatan kita.Yang menyusun dan merancang semua ini adalah kabal-kabal rahsia seperti – Freemason, Bohemian Grove, Bilderberg Group, Skull and Bones – semuanya terpusat di bawah satu bumbung yang dikuasi oleh pemodal dan banker yang sedang merancang untuk memunculkan New World Order – Satu Dunia Baru.
Di belakang semua ini ialah nama-nama seperti Rothschild, Rockefeller and Morgan. Mereka ini berkumpul di bawah payung organisasi yang dipanggil Illuminati. Susuk-susuk yang kaya raya ini tidak pernah muncul menunjukkan muka mereka.Kabal rahsia ini telah memunculkan muka-muka yang boleh dikenali oleh dunia seperti Henry Kissinger, Zbigniew Brzezinksi and Lord Carrington. Mereka ini dianggap sebagai jurufikir yang berkumpul di bawah Council of Foreign Relation di Amerika dan Royal Institute of International Affairs di United Kingdom.
Lembaga jurufikir seperti NGO ini akan menjemput malaon dari dunia ketiga yang bercita-cita untuk menjadi presiden atau perdana menteri.Tugas badan pemikir ini ialah mentafsir dan menilai malaon-malaon dari dunia ketiga ini. Penilaian bukan berdasarkan apa yang ada di antara dua telinga maloan-malaon ini tetapi sama ada maloan-maloan ini akan bersedia untuk menjadi barua yang setia untuk menjalankan dasar yang diperlukan oleh kabal rashia ini.Justeru kita lihat apabila dasar penswastaan dianjurkan maka semua malaon yang telah dilantik menjadi barua di dunia ketiga akan menjalankan dasar yang sama.
Apabila dasar globalisasi diperkenalkan maka malaon-maloan ini seperti burung kakaktua akan bersuara sama.Jika ada malaon ini yang cuba melawan seperti Noriega dari Panama atau Saddam maka dengan sekelip mata mereka akan dilupuskan. Jika maloan ini sudah selesai tugasnya seperti Suharto, Marcos, Lol Nol atau Zia ul haq, – mereka akan diketepikan untuk malaon yang baru naik. Semua ini dirancang. Tidak ada yang berlaku tanpa perancangan.Hari ini sebenarnya tidak ada masaalah kecairan. Apa yang berlaku ialah peralihan harta dan wang ringgit warga dunia masuk ke tangan para banker ini. Dolar yang terkumpul hari ini melebihi 17 trilion dolar.
Dolar, emas dan pelbagai mata wang ini tersimpan di 27 buah negara pulau yang memiliki bank pesisir pantai. Negara seperti Bermuda, Cook Islands, Switzerland, Luxumbourg, Cayman Island dan termasuk Labuan adalah tempat tersoroknya harta ini. Buat ketika ini di sinilah harta kekayan dunia sedang bermastautin. (TT)
(Tulisan ini boleh diambil untuk kegunaan membuat kebaikan - Penglipurlara)

Thursday, May 7, 2009

Gambar Insiden DUN Perak 7 May 09





































Sidang DUN Perak pada 7 May 09


Rentetan Sidang DUN Perak pada May 7, 09 8:31am

Persidangan DUN Perak yang dinanti-nantikan - menentukan hidup mati secara rasmi pentadbiran menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan kestabilan kerajaan pencabarnya Datuk Zambry Abd Kadir - bermula seawal subuh hari ini apabila sekumpulan penyokong PAS mengadakan solat hajat di Manjoi, beberapa kilometer dari pusat bandar Ipoh.
Berikut perkembangan terkini di Perak:
4.55pm
Ahli parlimen PAS Salahuddin Ayub memberitahu Malaysiakini, semua wakil rakyat - termasuk beliau sendiri - yang ditahan pagi ini di balai polis Sungai Senam telah dibebaskan jam
4.30 petang.
Beberapa puluh orang yang turut ditahan kebanyakannya sudah dibebaskan.Bagaimanapun ahli parlimen PKR Zuraida Kamaruddin pula - antara yang awal ditahan pagi tadi - berkata, semua wakil rakyat dibebaskan kecuali D Jeyakumar, ahli parlimen Sungai Siput.Pengarah strategi parti itu Tian Chua yang ditahan sebentar tadi baru dibawa masuk jam 4.30 petang di balai tersebut, kata ketua Wanita PKR.
4.12pm
Speaker asal V Sivakumar tiba-tiba masuk semula ke dewan DUN. Sidang akhbar akan diadakan di dalam dewan tersebut sebentar lagi.
4.05pm
Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah berangkat meninggalkan dewan.Menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir mencadangkan persidangan itu ditangguhkan dengan disambut jeritan wakil-wakil Pakatan Rakyat "bubarkan DUN".Speaker baru R Ganesan menangguhkan persidangan DUN ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.
4.05pm
Naib Presiden PAS Mohamad Sabu - yang ditahan semalam di Kuala Lumpur - dibebaskan jam 3.30 petang di mahkamah Tanjung Malim, Perak setelah magistret menolak permohonan reman pihak polis.Beliau dibebaskan dengan jaminan polis dan disambut isterinya Normah Alwi dan seorang anak mereka di situ.4pm Pemimpin PKR Tian Chua ditahan polis di belakang bangunan sekretariat kerajaan Perak sewaktu cuba menyambut kehadiran wakil-wakil rakyat Pakatan yang akan keluar dewan selepas perasmian sebentar tadi.
3.47pm
Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah menamatkan titah ucapan baginda dalam perasmian pembukaan sidang dewan setelah menyampaikan ucapan kira-kira setengah jam.Baginda menyentuh pakej rangsangan ekonomi tetapi tidak mengulas isu-isu politik.
3.15pm
Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah berangkat masuk ke dewan untuk majlis rasmi pembukaan persidangan DUN. Baginda kemudian bertitah kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan). Mohamad Nizar kemudian menyeru semua ADUN Pakatan agar duduk dan mereka semua kembali di tempat masing-masing.
3.13pm
V Sivakumar dibawa oleh kumpulan polis ke satu tempat yang tidak didedahkan. Hanya isteri beliau dibenarkan berjumpa ADUN DAP itu.
3.12pm
Kenderaan rasmi Speaker DUN V Sivakumar jenis Toyota Camry dengan nombor pendaftaran AFD 999 kelihatan keluar dengan seorang penumpang wanita tetapi ADUN DAP itu tidak berada di dalamnya.
3.10pm
R Ganesan, speaker baru lantikan BN, memulakan persidangan dewan dengan meminta seorang pegawai DUN membacakan doa. Beliau juga mengarah keluar dua ADUN Pakatan - Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai) dan Chang Lih Kang (PKR-Teja) - tetapi mereka enggan. Speaker itu kemudian menangguhkan dewan bagi menunggu keberangkatan tiba Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah.
3pm
Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub, yang sedang ditahan polis di balai polis Sungai Senam di Ipoh, memberitahu Malaysiakini melalui telefon bahawa beliau tidak pasti bila akan dibebaskan.Beberapa lagi ahli parlimen - Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) dan Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parti Buntar) - juga sudah memberikan keterangan kepada polis.Katanya, kira-kira 40 lagi turut ditahan pagi ini berdekatan bangunan DUN Perak yang menyaksikan persidangan genting bagi Pakatan Rakyat dan BN.Difahamkan polis 13 orang orang setakat ini, tetapi jumlah mereka yang ditahan tidak dapat diperolehi. Usaha menghubungi polis gagal.Seorang tokoh DAP Lim Kit Siang berkata 64 orang ditahan.
2.55pm
Kumpulan "pegawai" mengelilingi tempat duduk Speaker - kini diambil alih oleh R Ganesan - untuk mengawal keadaan.
2.41pm
Sekumpulan lelaki berjaket, dengan tag nama "pegawai", yang dilaporkan anggota polis mengheret V Sivakumar dan memaksanya keluar dewan.
2.35pm
Usaha pengawal dewan dan kakitangan DUN mengalihkan V Sivakumar dari tempat duduknya dibantah oleh Speaker tersebut dan sekumpulan ADUN Pakatan Rakyat. Sementara sekumpulan ADUN Pakatan yang lain cuba membawa keluar Ganesan, speaker lantikan BN, dari dewan.
2.15pm
Persidangan dewan negeri Perak bersambung. Wakil-wakil rakyat Pakatan cuba menghalang R Ganesan, speaker lantikan BN, memasuki dewan.Suasana kelam-kabut dan tidak menentu di dalam bangunan tersebut. Saling tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk, beberapa ADUN kelihatan nerdiri di atas meja. Bebarapa pegawai polis masuk ke dalam dewan DUN bagi menenangkan keadaan, dengan disambut jeritan ADUN Pakatan agar mereka meninggalkan dewan.Pada waktu yang sama, wakil-wakil rakyat pula berusaha membuang keluar V Sivakumar dari tempat duduk Speaker - tetapi beliau masih dikelilingi oleh beberapa ADUN Pakatan.
1.10pm
Difahamkan Zambry bertemu dengan Raja Nazrin Shah - yang dijadual membuka secara rasmi persidangan DUN Perak pagi ini - di luar dewan. Tiada maklumat lengkap tentang pertemuan dan tujuannya.
12.55pm
Enggan meninggalkan dewan R Ganesan, speaker baru lantikan BN, mengumumkan penangguhan sidang dewan DUN Perak selama sejam lagi. Keadaan kembali tenang dengan kedua-dua pihak duduk kembali di tempat masing-masing.
12.45pm
Thomas Su, ADUN Pasir Pinji, mengunjukkan sekeping wang RM50 ke arah timbalan Speaker, Hee Yit Foong, sambil menjerit "pergi mampus" dalam dialek Kantonis. ADUN Aulong, Yew Tian Hoe pula kemudian membaling dua keping wang kertas RM1 ke arah Hee, yang juga ADUN Jelapang.Bekas ADUN DAP itu, kini wakil rakyat bebas, mengambil wang itu dan mencarik-carikkannya. Wakil-wakil rakyat BN merakamkan gelagat dua ADUN DAP itu dengan video telefon mereka, sementara tindakan serupa dibuat oleh ADUN Pakatan.
12.37pm
Hampir semua ADUN Pakatan Rakyat mengerumuni kawasan tempat duduk ADUN BN bagi meminta R Ganesan - speaker baru lantikan BN yang duduk di situ - meninggalkan dewan. Kumpulan ADUN BN mempertahankan Ganesan, dan berlaku sekali pertengkaran di dalam dewan yang mulia itu. Berlaku sedikit pergelutan seketika antara ADUN BN dan Pakatan tetapi mereka kemudian menghentikannya.Ganesan, bekas ADUN Sungkai dan pemimpin MIC Perak, tetap berdegil dan terus duduk di situ.
12.15pm
Speaker asal V Sivakumar mengharamkan R Ganesan, speaker baru yang dilantik BN, meninggalkan dewan. Kemudian beberapa ADUN Pakatan mendekati Ganesan agar berbuat demikian dan mereka bertengkar. Mengejutkan, wakil-wakil rakyat BN hanya duduk dan memerhatikan gelagat tersebut, sambil membuat bising.
11.59am
Tidak pasti bila Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah akan masuk ke dewan untuk merasmikan pembukaan persidangan DUN Perak. Kedua-dua kumpulan wakil rakyat BN dan Pakatan sedang menunggu di dalam dewan. Tiada lagi pertikaman lidah seperti sejak dua jam lalu. Mereka sedang menunggu.
11.22am
V Sivakumar, speaker Pakatan, memulakan semula persidangan DUN walaupun R Ganesan, speaker BN, menangguhkannya sebentar tadi. Walaupun tanpa mikrofon, Sivakumar tetap meneruskan arahannya yang awal agar tujuh ADUN BN termasuk menteri besar mereka Zambry dan tiga wakil bebas meninggalkan dewan.Jika mereka enggan berbuat demikian, beliau enggan memulakan persidangan tersebut.
Kedua-dua pihak bertikam lidah sekali lagi dari tempat duduk masing-masing, tidak seperti tadi.Wakil-wakil rakyat Pakatan berkumpul di sekeliling menteri besar mereka Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan berbincang dengan mereka tindakan selanjutnya.Kedua-dua pihak masih bertegang leher tetapi tidak sehangat tadi.
11.13am
Zambry membawa usul agar persidangan dewan ditangguhkan dan ia diluluskan. Persidangan dewan ditangguhkan, kata Ganesan.Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah yang dijadualkan membuka secara rasmi persidangan hari pertama belum boleh memasuki dewan.
11.01am
Wakil-wakil BN berdiri mengelilingi timbalan Speaker, Hee Yit Fong dan menteri besar mereka Zambry. Mikrofon Speaker kini dimatikan tetapi mikrofon depan Hee dan Zambry masih berfungsi walaupun telah dimatikan sebelumnya. Dengan perlindungan kumpulan ADUN BN itu, Hee mengumumkan beliau kini sebagai pemangku Speaker dan mengarahkan pengawal keselamatan dewan menghalau V Sivakumar daripada kerusi Speaker.Mereka bagaimanapun tidak bertindak mematuhi arah tersebut.
Kemudian Zambry mengusulkan Sivakumar digugurkan sebagai Speaker dengan sokongan tangan semua ADUN BN. Zambry kemudian membawa usul melatikan R Ganesan sebagai Speaker baru.Dengan cepat Ganesan tampil dan menerima pakaian rasmi Speaker, memakainya, mengangkat sumpah dan menandatangani beberapa dokumen berkaitan di tempat ADUN BN.Sivakumar masih duduk bertahan di kerusinya, sambil menjerit "Speaker (Ganesan) ini haram", "selagi Speaker ada di sini, Speaker ini (Ganesan) adalah haram" dan "Perak ada Speaker haram."
Ganesan kini cuba mengambil alih perjalanan dewan dan wakil-wakil BN membawa beberapa usul lagi.Sivakumar kemudian bangun semula dan mengumumkan - tanpa mikrofon - semua usul yang dibawa sebentar tadi ditolak oleh beliau sebagai Speaker.ADUN Pakatan bersorak gembira. Kumpulan wakil rakyat BN mengabaikan arahan Sivakumar, dan meneruskan dengan usul bahawa perhimpunan di bawah pokok, pada awal Mac, anjuran Pakatan Rakyat sebagai tidak sah.
10.35am
Kedua-dua kumpulan wakil rakyat BN dan Pakatan terus bertegang. Speaker terus mengulangi bahawa usul yang dibawa Zambry untuk menggantikan beliau terbatal dan tidak sah, sementara menteri besar BN itu tetap bertegas Speaker itu telah diganti.Speaker mengarahkan pengawal keselamatan dewan menghalau keluar tujuh wakil rakyat BN, termasuk Zambry, dan tiga bebas.
Pengawal bagaimanapun enggan berbuat demikian.Kedua-dua pihak berkerumun di kerusi menteri besar di dalam dewan dan terus bertikam lidah. Setiausaha dewan cuba campur tangan tetapi ADUN Pakatan mengawalnya, sementara Speaker tidak melayannya.
Zambry cuba mengumumkan Speaker telah ditukar tetapi tetapi semua mikrofon ADUN telah dimatikan kecuali di depan Speaker. Setiap kali Zambry cuba bersuara, ADUN Pakatan Rakyat membuat bising.Suasana tegang berlanjutan.
Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah yang dijadualkan membuka secara rasmi persidangan tersebut belum boleh memasuki dewan akibat ketegangan tersebut.
10.20am
Suasana kecoh di dalam dewan apabila kedua-dua kumpulan wakil rakyat BN dan Pakatan Rakyat masing-masing bangun untuk campur tangan keputusan Speaker, V Sivakumar.Sekumpulan ADUN Pakatan menghalang setiausaha dewan Abdullah Antung - yang juga digantung tugasnya - duduk di depan Speaker untuk memulakan persidangan.
Mereka menggesa Abdullah agar tidak campur tangan dengan alasan beliau hanya seorang kakitangan kerajaan.Tindakan itu mendorong wakil-wakil rakyat BN bangun dan turut berhujah. Kedua-dua pihak saling bertengkar dan menjerit-jerit.
Suasana dewan menjadi tidak tentu hala. Bagaimanapun tiada pergaduhan fizikal berlaku.Menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir cuba berkata sesuatu tetapi Speaker menjawab bahawa beliau enggan mendengarnya. ADUN-ADUN Pakatan juga cuba menghalang Zambry bercakap. Menteri besar BN cuba membawa usul menggantikan Speaker tetapi ditolak.
10.19am
Dua ahli parlimen Pakatan Rakyat ditahan polis berdekatan DUN Perak kerana memasuki kawasan larangan polis 500 meter dari bangunan tersebut. Wakil rakyat PAS bagi Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa dan wakil PSM bagi Sungai Siput, D Jeyakumar antara ADUN dan ahli parlimen pembangkang yang telah ditahan.
9.55am
Speaker DUN V Sivakumar mengarahkan Menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir dan enam exconya - yang digantung oleh jawatankuasa khas dewan tersebut - keluar. Beliau enggan memulakan persidangan jika ketujuh-tujuh itu enggan mematuhi arahannya. Wakil-wakil Pakatan Rakyat menepuk meja sebagai tanda sokongan.
Tindakan tersebut bermakna Speaker - yang mempunyai kuasa tersendiri dalam cabang legislatif - tidak mengiktiraf keputusan mahkamah yang telah membatalkan penggantungan yang dibuat oleh DUN.Sivakumar, yang mengetuai jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Perak, juga mengarahkan tiga ADUN bebas meninggalkan dewan.
Ketiga-tiganya dianggap telah meletakkan jawatan awal Februari lalu, sebelum rampasan kuasa BN.Wakil-wakil Pakatan Rakyat menepuk meja dan menjerit "keluar" ke arah 10 ADUN tersebut, tetapi mereka masih berdegil. ADUN Pakatan dan BN masing-masing menjerit ke arah satu sama lain.Speaker DUN terus mengarahkan 10 ADUN itu meninggalkan dewan. Kedua-dua pihak BN dan Pakatan masih saling jerit-menjerit ke arah satu sama lain.
9.45am
Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian, ditahan polis di belakang bangunan utama pentadbiran Perak - yang menempatkan DUN.
9.30am
Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah tiba untuk memeriksa perbarisan di luar dewan DUN. Kedatangan baginda disambut dengan rasa hormat semua ADUN Pakatan Rakyat, mereka semua berdiri, tidak seperti sikap mereka terhadap Menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir yang tidak menerima penghormatan itu.
9.24am
Menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir tiba untuk memeriksa perbarisan di luar dewan DUN sebelum pembukaan rasmi sidang. Beliau berjabat tangan dengan Speaker DUN V Sivakumar, juga seorang ADUN DAP bagi Tronoh.
9.23am
Bilangan anggota polis yang kebanyakan berpakaian biasa - dalam vest kuning bertulisan "polis" - semakin ramai di bangunan Umno. Suasana tenang, helikopter kelihatan mengawal dari udara.
9.00am
Ahli parlimen PKR-Ampang, Zuraida Kamaruddin [foto, serba hitam] dan ADUN Ayer Keroh (Melaka) Khoo Poay Tiong - yang ditahan - dibawa di dalam trak polis. Mereka menjerit "1Black Malaysia", "bubar DUN" dan "reformasi."
8.50am
Sekurang-kurangnya 11 orang ditahan polis, termasuk ahli parlimen PKR-Ampang, Zuraida Kamaruddin, ADUN Teratai (Selangor) Janice Lee [foto, tersenyum] dan ADUN Ayer Keroh (Melaka) Khoo Poay Tiong.
8.40am
Semua lebih kurang berada di perkarangan lobi bangunan Umno Perak, beberapa kilometer dari bangunan DUN. Sepanduk yang direntang berbunyi, antaranya, "kami anti penderhaka, pertahankan hak rakyat, biarkan DUN bersidang dengan aman."Mereka juga melaungkan "daulat tuanku."
8.35am
Mohamad Nizar dan semua ADUN Pakatan masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan. Semua pengawal peribadi mereka disekat masuk di pintu utama. Pemandu dibenarkan masuk.
8.30am
Semua ADUN Barisan Nasional tiba di Bangunan Perak Darul Ridzuan dalam sebuah bas. Mereka disambut oleh sekumpulan penunjuk perasaan yang berpakaian hitam di luar bangunan tersebut - yang menempatkan DUN Perak.Tiga orang ditahan polis, termasuk ADUN Ayer Keroh (Melaka) Khoo Poay Tiong.
7.55am
Kira-kira 100 penyokong BN berkumpul di bangunan Umno, beberapa kilometer dari bangunan DUN Perak. 7.45am Kawalan keselamatan ketat di Bangunan Perak Darul Ridzuan - yang menempatkan DUN Perak - bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada hari pertama persidangan yang akan dibuka secara rasmi oleh Raja Muda Perak.